DROOL RASH


Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa post di mana bayi mendapat ruam yang menyerupai ruam eksema akibat bayi yang bermain dengan air liur atau air liur yang meleleh kerana bayi tengah tumbuh gigi. Ini dikenali sebagai “drool rash” atau ruam air liur.
APA ITU “DROOL RASH?”
Drool rash adalah ruam merah yang boleh merekah, menebal dan mengeras serta rasa pedih yang wujud di sekitar kawasan mulut, dan pipi anak akibat air liur atau susu ibu atau susu formula berlebihan yang meleleh dan melekat di kawasan kulit tersebut. Dalam keadaan yang lebih serius, air liur tersebut boleh meleleh ke kawasan leher dan dada menyebabkan ruam berlaku di bahagian tersebut juga. Iritasi air liur atau susu yang melekat pada kulit ini boleh menyebabkan ruam. Bayi yang memakai pacifier atau sedang tumbuh gigi juga boleh mengalami masalah yang sama.
KENAPA BAYI DROOL?
American Academy of Pediatrics (AAP) menjelaskan bahawa peningkatan air liur semasa bayi tumbuh gigi mungkin membantu melindungi dan menenangkan gusi bayi yang lembut. Mengikut sumber, drooling pada bayi bermula sekitar 3-6 bulan, apabila bayi "mula ingin makan." Bayi belajar tentang dunia dengan meletakkan barang di dalam mulut mereka. Ini juga membantu bayi meningkatkan sistem imuniti badan mereka.
Drooling pada bayi berfungsi untuk:
- Melembabkan makanan apabila bayi sudah bersedia untuk makan pepejal
- Menjaga bibir bayi supaya lembap
- Membantu bayi untuk menelan
- Membantu mengeluarkan residu makanan
- Melindungi gigi bayi
Air liur bayi juga menyampaikan maklumat tentang kesihatan bayi. Apabila bayi menyusu, air liur di mulut bayi berinteraksi dengan kelenjar susu ibu. Bakteria dan mikrob lain dalam airu liur bayi berkomunikasi dengan badan ibu untuk memberitahu dia jenis susu yang perlu dihasilkan. Sekiranya bayi sakit, komposisi susu ibu boleh berubah sebagai tindak balas dan menghasilkan lebih banyak antibodi yang diperlukan oleh bayi untuk mengatasi penyakitnya.
APA YANG MENYEBABKAN DROOL RASH?
Air liur bukanlah air semata-mata tapi terdiri daripada jus atau cecair dari salur penghadaman kita. Semasa umur bayi 2 ke 3 bulan, kelenjar air liurnya menjadi aktif dan menghasilkan air liur. Akibatnya kulit bayi menjadi lembap dan basah sentiasa dan apabila digesel pada bantal, cadar tilam atau barang mainan akan menyebabkan iritasi pada kulit akibat geseran. Jika ruam ini tidak dikawal dan dijaga, akan menjadi teruk dan mendapat jangkitan bakteria. Keadaan ini dikenali sebagai impetigo.
BAGAIMANAKAH CARANYA UNTUK MENGELAKKAN DROOL RASH?
1) Tukar baju bayi anda sebaik sahaja ia basah dengan air liur. Jangan biarkan ia tetap lembap kerana ini boleh menyebabkan bayi anda mengalami ruam.
2) Sediakan kain muslin yang lembut dan menyerap air. Pastikan ia sentiasa ada berhampiran anda dan bawanya apabila anda keluar dengan bayi anda. Lap kering dengan lembut untuk mengeringkan kulit bayi anda sebaik sahaja air liurnya meleleh.
3) Lapkan mulut, pipi bayi anda serta pelipat lehernya dengan bersih setiap kali selepas makan atau menyusu badan atau minum susu formula.
4) Guna kain bib atau bib jenis kalis air untuk mengelak pakaian dan dagu bayi dari menjadi basah.
5) Anda boleh menggunakan krim penghalang “(barrier cream”) sebagai langkah pencegahan untuk mengelak air liur dari menyentuh kulit bayi secara langsung, terutamanya semasa waktu tidur.
6) Apabila air liur bayi itu meleleh di atas katil dan bayi menggosok mukanya di situ, ruam boleh menjadi lebih teruk. Untuk membantu menyerap kelembapan, letakkan kain/tuala lap yang lembut, cepat menyerap di bawah cadar tempat tidur. Pemakaian bib pada bayi pada siang hari juga dapat membantu menjaga dada bayi dari drool.
7) Bersihkan bahagian yang terjejas dengan air suam dua kali sehari. Basuh sebaiknya bangun di sebelah pagi. Berhati-hati mengeringkan kawasan tersebut. Jangan gosok kawasan ini, kerana ia akan menambahkan kesakitannya. Sentiasa gunakan kain lap lembut yang mudah menyerap air liur tetapi tidak menyebabkan kerengsaan pada kulit. Pastikan kain lap dibasuh hanya dengan detergen yang “mild” sahaja.
8)Jangan gunakan produk berasaskan bahan kimia yang kuat berhampiran kawasan yang terjejas. Cadar katil bayi, sarung bantal, pakaian, bib, kain muslin yang digunakan untuk mengeringkan air liur elok dibasuh dengan bahan pencuci pakaian yang mild/ringan tanpa wangian. Juga basuh pakaian anda dengan bahan pencuci yang sama seperti bayi anda jika bayi sentiasa bersentuhan dengan anda. Begitu juga, elakkan menggunakan krim dan losyen dengan bahan kimia yang kuat.
9) Sekiranya air liur meleleh anak adalah disebabkan oleh penumbuhan gigi, cuba berikan sesuatu yang sejuk untuk dikunyah oleh bayi. “Teething rings” atau cincin gigi yang sejuk boleh digunakan. Ia membantu menenangkan gusi bayi yang saki. Pastikan ia dibersihkan selepas diguna.
BILAKAH PATUT SAYA BERJUMPA DOKTOR MENGENAI RUAM AIR LIUR ANAK?
Jika anda mendapati bahawa ruam bayi semakin teruk dan semakin merekah, tebal dan mengeras, rasa sakit dan bayi tidak selesa, eloklah berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan perubatan.
Walaupun drooling merupakan kejadian biasa pada bayi dan tidak apa yang perlu dibimbangkan, ada beberapa contoh drooling yang boleh menjadi punca kebimbangan seperti:
1) Sekiranya anak anda tiba-tiba mula meleleh dan mempunyai gejala lain, seperti keletihan, mengalami kesukaran menelan, masalah bernafas, atau tersentak, pergilah ke hospital dengan segera.
2) Seorang kanak-kanak yang meleleh dengan banyak dengan tiba-tiba dan membuka mulutnya dengan luas dan menghadapi masalah bernafas mungkin tersedak pada objek asing.
3) Dalam sesetengah keadaan, peningkatan drool dalam bayi juga boleh menjadi tanda jangkitan. Sekiranya bayi anda kelihatan tidak selesa, tidak tidur dengan baik, dan enggan makan atau makan berkurangan, dan mempunyai demam dengan kelenjar yang bengkak, anda harus membawa anak anda ke doktor untuk diperiksa.